Back to Newsroom KidSTART mother of two learns to support her child’s development through the KidSTART program By KidSTART Singapore February 20, 2025 Share KidSTART mother of two learns to support her child’s development through the KidSTART program KidSTART mother of two learns to support her child’s development through the KidSTART program Menurut Cik Siti Fatimah Mohamed Motali (kanan), sejak menyertai program KidSTART dan mendapat bimbingan daripada pengamal KidSTART seperti Cik Azimah Azhar (kiri), anak sulungnya, Sheik Fayyad Sheik Firdaus, enam tahun, telah berubah minat daripada suka menonton televisyen kepada suka membaca. Ibu dua anak timba ilmu sokong perkembangan si kecil melalui program KidSTART Program bantu ibu bapa perkasa diri jadi penjaga yakin, peroleh kemahiran pupuk hubungan mesra Melihat anak sulungnya lebih meminati televisyen daripada buku ketika berusia dua tahun, Cik Siti Fatimah Mohamed Motali, sedar beliau perlu melakukan sesuatu untuk membantu anaknya agar tidak ketinggalan apabila memasuki sekolah kelak. Memandangkan beliau tidak berpengalaman menjaga atau mengajar kanak-kanak kecil, beliau tidak tahu bagaimana untuk membimbing anaknya. Beliau cuba mendapatkan panduan di Internet atau media sosial namun ia tidak banyak membantu. Justeru apabila Cik Siti Fatimah menerima undangan menyertai program KidSTART selepas melahirkan anak keduanya, beliau tidak teragak-agak untuk mendaftar agar dapat meraih manfaatnya. Program KidSTART bekerjasama dengan ibu bapa untuk memperkasa mereka menjadi penjaga yang yakin. Ibu bapa dilengkapi pengetahuan dan kemahiran untuk memupuk hubungan mesra dengan anak-anak, menyokong perkembangan mereka dan menjaga kesihatan serta kesejahteraan sosial anak-anak itu dalam tahun-tahun awal mereka. “Pada mulanya saya tak tahu pun tentang KidSTART hinggalah saya mendapat panggilan yang menerangkan tentang sokongan yang ditawarkan. “Saya tertarik untuk menyertai program itu kerana saya akan dibantu tentang cara menguruskan anak serta memahami sama ada anak saya mencapai perkembangan yang sesuai dengan peringkat umurnya,” kata Cik Siti Fatimah, 37 tahun. “Kalau ada sebarang kelemahan pada anak saya, pengamal KidSTART akan datang dan membuat penilaian. “Kemudian mereka akan berkongsi tentang perkara yang saya perlu ambil berat,” tambah pegawai khidmat pelanggan itu. Kini, empat tahun telah berlalu sejak Cik Siti Fatimah pertama kali menerima pengamal KidSTART ke flat empat biliknya di Jurong West. Di flat itu, Cik Siti Fatimah tinggal bersama suami yang bekerja sebagai penolong gudang, dua anak berumur empat dan enam tahun, ibu dan dua anak saudaranya. Pengamal KidSTART biasanya melakukan lawatan ke rumahnya sebulan sekali dan meluangkan sekurang-kurangnya sejam setiap kali. Tidak sekadar bertanya tentang perkembangan anak-anaknya, Cik Siti Fatimah berkata pengamal KidSTART turut bertanya khabar dan keadaan dirinya. “Biasanya apabila pengamal datang, mereka akan membuat penilaian ke atas anak-anak saya dan selepas itu membiarkan mereka bermain. “Kemudian mereka tanya apakah terdapat perkara yang merisaukan saya dan apakah bantuan yang saya perlukan. “Saya selalunya risaukan tentang kebajikan anak-anak dan sama ada saya memainkan peranan yang baik sebagai seorang ibu. “Dahulu, apabila suami saya belum mendapat pekerjaan tetap dan kami menghadapi masalah kewangan, pengamal KidSTART amat menitikberatkan keadaan diri saya. “Ini kerana bagi mereka, kestabilan seorang ibu memainkan peranan penting dalam usaha membesarkan anak-anak,” kata Cik Siti Fatimah. Dengan setiap sesi lawatan, beliau menjadi mesra dengan pengamal KidSTART yang membantunya dan selesa berkongsi tentang masalah yang beliau hadapi. Cik Siti Fatimah berkata pengamalnya bukan hanya mendengar, malah cuba membantu meringankan masalah yang beliau hadapi, dengan antara lain merujuknya ke Pejabat Khidmat Sosial (SSO) dan Pusat Khidmat Keluarga (FSC). Berkongsi tentang perubahan yang dilihat dalam cara beliau menjaga anaknya, Cik Siti Fatimah berkata, jika dahulu beliau bersikap ‘sambil lewa’, kini dengan kesedaran yang timbul setelah mengikuti program KidSTART, beliau cuba mengawal masa yang diluangkan di hadapan televisyen. “Kalau kita nak tarik balik waktu menonton televisyen itu, kita perlu ganti dengan benda lain yang mereka minat. Itu susah dilakukan. “Tapi kerana KidSTART selalu menghantar mainan atau buku, minat anak-anak saya beralih arah dan waktu menonton televisyen juga sudah berkurangan. Kami akan luangkan masa menggunakan mainan atau buku itu bersama. “KidSTART juga memberi rak buku. Jadi selepas membaca, anak-anak tahu yang mereka perlu pulangkan buku ke rak. Mereka menjadi semakin berminat untuk membaca,” katanya. Selain memberi sokongan di rumah, KidSTART turut menganjurkan acara seperti lawatan keluarga ke tempat tarikan seperti Taman Haiwan Singapura secara percuma. “Kita tak perlu mengeluarkan belanja kerana makanan pun disediakan. “Di acara itu, kita dapat meluangkan masa bersama keluarga walaupun kita berada dalam keadaan kita rasa kita tak mampu membawa anak-anak kita ke tempat sebegitu kerana kewangan kita tidak begitu stabil. “Apabila kita rasa kita tak mampu, kita rasa yang kita tidak melakukan tanggungjawab yang baik untuk anak-anak kita. Tapi dengan peluang daripada KidSTART, kita mendapat semangat,” kata Cik Siti Fatimah. “Saya selalunya risaukan tentang kebajikan anak-anak dan sama ada saya memainkan peranan yang baik sebagai seorang ibu. Dahulu, apabila suami saya belum mendapat pekerjaan tetap dan kami menghadapi masalah kewangan, pengamal KidSTART amat menitikberatkan keadaan diri saya. Ini kerana bagi mereka, kestabilan seorang ibu memainkan peranan penting dalam usaha membesarkan anak-anak.” Cik Siti Fatimah Mohamed Motali, ibu kepada dua anak. This article was originally featured in Berita Harian on 20 February 2025https://www.beritaharian.sg/gaya-hidup/ibu-dua-anak-timba-ilmu-sokong-perkembangan-si-kecil-program-kidstart More Articles KidSTART supports over 10,000 children in 5 years Play is important for children’s physical growth and mental development. SP Group Donates Additional $1.1 Million to KidSTART Singapore for PowerUP Playtime initiative ‘I felt helpless and alone’: KidSTART helps new mums struggling to care for their babies