Back to Newsroom KidSTART supports over 10,000 children in 5 years By KidSTART Singapore February 20, 2025 Share KidSTART supports over 10,000 children in 5 years <strong>KidSTART supports over 10,000 children in 5 years</strong> Lebih 10,000 kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah telah meraih manfaat daripada program KidSTART Singapore dalam tempoh lima tahun sejak organisasi tidak mencari untung (NPO) itu ditubuhkan. Demikian dikongsi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KidSTART, Encik Joel Tan, ketika mengulas tentang pencapaian program itu dalam wawancara melalui e-mel bersama Berita Harian (BH) pada 14 Februari. Inisiatif KidSTART – yang bertujuan memberi kanak-kanak permulaan baik dalam kehidupan – kali pertama diumumkan semasa Belanjawan 2016 dan dirintis oleh Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (Ecda) di beberapa kawasan pada tahun yang sama. Pada 2020, KidSTART Singapore Ltd diperbadankan sebagai syarikat awam berhad yang dijamin (CLG). Ia menyokong ibu hamil dan memperkasa keluarga berpendapatan rendah dengan teknik keibubapaan bagi meraih hasil perkembangan positif bagi kanak-kanak berumur hingga enam tahun. Menurut Encik Tan, KidSTART mempunyai empat hasil yang diinginkan, yang dicapai menerusi kerjasama dengan rakan kongsi utama dalam sektor khidmat sosial yang lebih besar. Ia menyasarkan agar kanak-kanak mencapai hasil perkembangan yang bersesuaian umur, menerima imunisasi yang diperlukan dan dimasukkan ke prasekolah awal serta mencatat kehadiran yang baik. Ia turut menyasarkan agar keluarga dalam program itu mempunyai keluarga yang berfungsi dan interaksi ibu bapa dengan anak yang lebih baik. “Kami percaya bahawa semua ibu bapa, tanpa mengira latar belakang, mahu memberi anak-anak mereka permulaan yang baik dalam hidup. “(Walau bagaimanapun), kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah mungkin menghadapi lebih banyak cabaran yang boleh menjejas perkembangan mereka, kadangkala sebelum mereka dilahirkan,” kata Encik Tan. “Ini mungkin disebabkan oleh kekurangan sokongan dari segi kewangan dan dalam keluarga, kekurangan penglibatan ibu bapa dan anak kerana komitmen kerja, atau kekurangan pengetahuan tentang perkembangan anak,” tambahnya. Justeru, KidSTART memberi tumpuan kepada keluarga berpendapatan rendah dalam usahanya merapatkan jurang perkembangan yang mungkin berlaku dalam kalangan kanak-kanak yang kekurangan sumber dan sokongan. Ini dilakukan dengan pengamal KidSTART mengadakan lawatan ke rumah dan melengkapi ibu bapa dengan ilmu keibubapaan seperti mengajar mereka pengetahuan praktikal melibatkan anak-anak dan merangsang pertumbuhan. Antara lain, ibu bapa dibimbing memupuk hubungan dengan anak-anak, menyokong perkembangan dan menjaga kesihatan serta kesejahteraan sosial mereka. Pengamal KidSTART juga meninjau kesejahteraan ibu bapa dan menghubungkan mereka dengan sumber kewangan dan sosial. Jika sokongan tambahan diperlukan, pengamal mungkin merujuk ibu bapa kepada sokongan perubatan profesional. Menurut Encik Tan, penilaian bebas yang dijalankan ke atas Program Lawatan Rumah KidSTART menunjukkan hasil positif. Dalam tempoh 12 bulan selepas menyertai program itu, ibu bapa dan penjaga yang menerima lawatan rumah KidSTART didapati kurang tertekan, melihat diri mereka lebih cekap dan menunjukkan interaksi antara ibu bapa dengan anak yang lebih positif dan bermutu tinggi. Menjelang umur tiga tahun, kanak-kanak mempunyai markah perkembangan yang lebih baik dan menunjukkan kelakuan yang lebih prososial. Interaksi antara ibu bapa dengan anak yang positif dan bermutu juga bertahan dan diperkukuh. Selain menyediakan sumber keibubapaan, KidSTART juga memberi sokongan untuk kanak-kanak mendapatkan permulaan hidup yang baik seperti pek bahan makanan segar, buku, jemputan ke acara dan tiket ke pelbagai tarikan untuk peluang mengeratkan hubungan keluarga. Walaupun dengan pelbagai sokongan dan sumber yang ditawarkan, KidSTART masih menghadapi cabaran mengajak keluarga yang layak menyertai programnya. “Keluarga yang enggan menyertai KidSTART biasanya tidak menyedari manfaatnya dan berasa mereka tidak memerlukan sokongan kerana mereka bukan ibu kali pertama atau mempunyai ahli keluarga yang lebih tua, yang boleh membimbing mereka. “Ada juga yang tidak bersedia untuk pengamal KidSTART mengunjungi rumah mereka. Ada pula yang tidak pasti dapat memberi komitmen masa,” kata Encik Tan. Memandang ke hadapan, Encik Tan berkata KidSTART akan selesai dalam usaha meluaskan khidmat ke seluruh negara menjelang hujung 2025, sempena ulang tahun kelima pertubuhan itu pada tahun yang sama. “Peluasan ini akan membawa kami selangkah lebih dekat kepada matlamat kami untuk menyokong 80 peratus kanak-kanak yang layak bagi setiap kohort,” katanya. Beliau menambah, KidSTART sedang meningkatkan usaha jangkauannya di hospital dan merekrut keluarga seawal di peringkat kehamilan. Inisiatif itu juga sedang meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat lebih luas untuk menjangkau kepada lebih banyak keluarga yang layak. This article was originally featured in Berita Harian on 20 February 2025.https://www.beritaharian.sg/gaya-hidup/kidstart-sokong-lebih-10000-kanak-kanak-5-tahun More Articles KidSTART mother of two learns to support her child’s development through the KidSTART program Play is important for children’s physical growth and mental development. SP Group Donates Additional $1.1 Million to KidSTART Singapore for PowerUP Playtime initiative ‘I felt helpless and alone’: KidSTART helps new mums struggling to care for their babies