Back to Newsroom

Play is important for children’s physical growth and mental development.

By KidSTART Singapore February 20, 2025

Share
Play is important for children’s physical growth and mental development.

Bermain penting demi pertumbuhan fizikal, perkembangan daya fikir kanak-kanak

Bahan harian dalam sekitaran boleh jadi permainan, rapatkan hubungan ibu bapa dan anak

Menurut kajian, lebih 90 peratus otak kanak-kanak membangun menjelang umur lima tahun.

Pengalaman kanak-kanak pada tahun-tahun awal sudah pasti akan mempunyai pengaruh besar terhadap perkembangan holistik jangka panjang.

Pengalaman dan kenangan zaman kanak-kanak yang positif membantu membentuk kanak-kanak dan menetapkan asas bagi tahun kemudiannya.

Sementara itu, pengalaman buruk semasa zaman kanak-kanak berpotensi membawa kesan negatif kepada diri mereka.

Bermain penting bagi kanak-kanak

Di KidSTART, kami menekankan pentingnya bermain demi perkembangan kanak-kanak.

Bermain adalah cara semula jadi kanak-kanak untuk belajar.

Kanak-kanak bermain sambil belajar, dan belajar sambil bermain.

Bermain juga membantu meningkatkan kemahiran seperti menghuraikan masalah, mengasah bahasa, sosial dan kemampuan berfikir.

Bermain digalakkan bagi memupuk pengalaman pembelajaran positif kanak-kanak melalui interaksi positif antara ibu bapa dengan anak.

Di KidSTART, kami menggalakkan ibu bapa melibatkan diri dengan bermain bersama anak-anak mereka.

Ia memupuk ikatan lebih mendalam dan berkekalan antara ibu bapa dengan anak.

Pengamal KidSTART menyokong pentingnya bermain melalui kegiatan daripada kurikulum kami untuk mengubah pengalaman harian menjadi penerokaan dan pembelajaran bermakna untuk kanak-kanak.

Bermain adalah kerja kanak-kanak. Apabila kanak-kanak bermain, kanak-kanak itu belajar.

Jalin ikatan kukuh melalui permainan

Dalam program KidSTART, penjaga diberi sokongan keluarga secara individu oleh pengamal KidSTART di rumah mereka untuk menyokong perkembangan dan pertumbuhan anak-anak.

Lawatan ke rumah menawarkan pendekatan secara individu bagi menangani keperluan unik setiap keluarga.

Pengamal KidSTART mengambil pendekatan berasaskan kekuatan untuk melibatkan keluarga semasa lawatan rumah yang tertumpu pada pembangunan hubungan dan mengiktiraf ibu bapa sebagai guru pertama anak-anak mereka.

Kami menekankan rasa hormat terhadap budaya ibu bapa dan nilai keluarga, membangunkan keyakinan keibubapaan dan membantu ibu bapa memahami peranan penting mereka dalam menyokong perkembangan dan pembelajaran anak mereka pada tahun-tahun awal.

Menggunakan kurikulum berasaskan bukti, pengamal KidSTART melengkapi ibu bapa dengan strategi merentas perkembangan kanak-kanak.

Ia termasuk keperluan kesihatan serta sosial bagi memastikan terdapat pandangan holistik terhadap keluarga dan anak-anak.

Adalah sangat penting bagi ibu bapa membentuk ikatan yang kukuh antara satu sama lain melalui interaksi dan penglibatan positif.

Kami menekankan interaksi ‘Serve and Return’ (Memberi dan Membalas) yang penting demi perkembangan positif kanak-kanak kerana ia menggalakkan perkembangan kanak-kanak yang holistik.

Interaksi ‘Serve and Return’ adalah pertukaran berulang antara ibu bapa dengan anak-anak yang membantu membangunkan sambungan saraf dalam otak.

Apabila penjaganya sensitif dan bertindak balas terhadap isyarat dan keperluan anak kecil, mereka menyediakan persekitaran yang kaya dengan pengalaman memberi dan membalas.

Pengamal menggalak penjaga agar mendekati anak-anak mereka melalui interaksi bermakna semasa rutin harian seperti mandi dan memberi makan.

Ibu bapa digalak memerhati secara aktif perkembangan anak mereka dengan mengajak mereka berkongsi pencapaian penting dalam perkembangan yang mereka perhatikan terhadap anak mereka semasa permainan dan kegiatan interaktif.

Kami menggalak penjaga agar merapatkan hubungan dengan anak-anak melalui permainan yang membolehkan kanak-kanak memimpin berdasarkan minatnya menggunakan bahan harian yang terdapat dalam persekitaran rumah.

Kami baru-baru ini melancarkan set, ‘PlayFULL Pack’ kami yang mengandungi sumber untuk kanak-kanak berumur hingga enam tahun dan panduan kurikulum tentang bagaimana penjaga boleh menggunakan sumber untuk bermain dan melibatkan anak-anak.

Buku, mainan dan barangan seni serta kraf merangsang pelbagai aspek pembangunan awal kanak-kanak, menggalak imaginasi sambil menyokong perkembangan.

Sesuaikan permainan mengikut usia

Di KidSTART, kami sedar bermain adalah penting demi pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak, dan ia berkembang semasa mereka melalui peringkat awal kanak-kanak yang berbeza.

Kami menggalakkan keluarga bermain bersama. Ibu bapa boleh menyesuaikan permainan dengan umur anak mereka sambil menggalakkan adik-beradik untuk terlibat bersama sambil memupuk ikatan.

Menyesuaikan permainan mengikut peringkat umur berbeza boleh dilakukan seperti berikut.

Bayi (0 hingga 12 bulan): Amat penting untuk memperkenalkan permainan pada bulan-bulan awal melalui interaksi harian yang bermutu.

Bayi belajar melalui penerokaan deria. Aksi mudah seperti menyanyi atau mengintip membantu dengan interaksi sosial awal.

Kanak-kanak kecil (Satu hingga tiga tahun): Pada peringkat ini, kanak-kanak suka meneroka dan meniru. Ibu bapa boleh memperkenalkan barangan rumah seperti kotak, periuk dan kuali serta permainan ‘cause-and-effect’ (sebab-dan-akibat) yang mudah.

Mereka mula bermain di samping orang lain dan ini merupakan masa yang baik untuk melibatkan adik-beradik.

Kanak-kanak prasekolah (tiga hingga enam tahun): Sedang imaginasi dan kemahiran sosial mereka berkembang, mereka menikmati permainan kolaboratif, seperti memainkan peranan, bercerita atau membina struktur bersama-sama.

Ini juga peringkat mereka belajar menunggu giliran dan bekerjasama, yang memudahkan mereka bermain dengan adik-beradik.

Pelbagai acara percuma untuk keluarga KidSTART

Salah satu manfaat menyertai KidSTART ialah acara mesra keluarga yang dikhususkan untuk keluarga KidSTART dan ia dijalankan secara percuma.

Acara KidSTART adalah penting untuk hubungan sosial bagi merapatkan ikatan dengan keluarga lain serta menjadi saluran untuk KidSTART mendekati keluarga baru yang layak.

Sebagai agensi yang pakar dalam pembangunan awal kanak-kanak, KidSTART menganjurkan acara yang merangkumi kegiatan yang berpusat pada pembangunan awal kanak-kanak.

Keluarga juga berpeluang mengunjungi tarikan seperti Taman Haiwan Singapura, S.E.A Aquarium Sentosa, Gardens by the Bay dan kebun bandar masyarakat, City Sprouts.

Dalam acara kami, kami sering mengadakan kegiatan mesra kanak-kanak yang memuatkan unsur interaktif termasuk bercerita.

Kegiatan ini membolehkan ibu bapa dan anak-anak mereka berseronok, belajar dan mengeratkan hubungan.

Kami juga memastikan kegiatan itu dapat memenuhi keperluan perkembangan kanak-kanak.

Acara dan inisiatif ini adalah sebahagian daripada komitmen KidSTART untuk memperkasa ibu bapa sebagai penjaga yang yakin.

Ia juga bagi memastikan kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah mendapat permulaan yang baik dalam kehidupan.

Cik Puspavalli Namasivayam ialah pakar latihan dan perunding awal kanak-kanak di KidSTART Singapore dengan pengalaman 40 tahun di Singapura, Malaysia, Indonesia dan rantau ini. Beliau memiliki ijazah Sarjana Muda dalam Pembangunan Kanak-kanak dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak serta ijazah Sarjana Pendidikan dalam Pendidikan Khas.

“Bermain adalah cara semula jadi kanak-kanak untuk belajar. Kanak-kanak bermain sambil belajar, dan belajar sambil bermain. Bermain juga membantu meningkatkan kemahiran seperti menghuraikan masalah, mengasah bahasa, sosial dan kemampuan berfikir. Bermain digalakkan bagi memupuk pengalaman pembelajaran positif kanak-kanak melalui interaksi positif antara ibu bapa dengan anak. ”

Cik Puspavalli Namasivayam, pakar latihan dan perunding awal kanak-kanak di KidSTART Singapore.


This article was originally featured in Berita Harian on 20 February 2025. 
https://www.beritaharian.sg/gaya-hidup/bermain-penting-demi-pertumbuhan-fizikal-perkembangan-daya-fikir-kanak-kanak