Back to Newsroom

KidSTART programme expands into Tampines and Pasir Ris

By KidSTART Singapore August 4, 2024

Share
<strong><strong><strong>KidSTART programme expands into Tampines and Pasir Ris</strong></strong></strong>

Program sokong kanak-kanak keluarga gaji rendah diperluas ke Tampines, Pasir Ris

Masagos: Program KidSTART tinggalkan kesan positif kepada lebih 8,500 kanak-kanak

Lebih ramai kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah akan menerima bantuan sedang program KidSTART – yang bertujuan memberi sokongan dalam aspek seperti perkembangan kanak-kanak, pemakanan dan interaksi antara ibu bapa dengan anak – diperluas ke Tampines dan Pasir Ris.

Berucap di edisi kedua siri KidSTART PlayDate bagi 2024 di Our Tampines Hub pada 4 Ogos, Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, berkongsi bahawa program tersebut telah meninggalkan kesan positif ke atas lebih 8,500 kanak-kanak.

Ramai daripada mereka menunjukkan peningkatan dalam pembangunan sosioemosi berbanding dengan rakan sebaya yang tidak menjalani program tersebut, katanya.

“Hasilnya bukan sahaja dari segi anak tersebut dapat membaca dan menulis, itu juga penting, tetapi bagaimana kita melengkapi ibu bapa dengan keupayaan untuk menjadi sebahagian daripada usaha pembangunan anak tersebut dari segi pembelajaran sosioemosi mereka,” ujar Encik Masagos.

Di bawah program KidSTART, ibu bapa menerima sokongan yang disesuaikan secara peribadi menerusi kunjungan rumah oleh pengamal KidSTART yang dilatih.

Mereka juga akan mendampingi kaum ibu dari tempoh mereka mengandung hingga anak itu berusia enam tahun.

Acara KidSTART PlayDate, yang menampilkan pelbagai kegiatan menyeronokkan, persembahan pentas interaktif dan permainan sesuai bagi kanak-kanak hingga enam tahun, sebelum ini diadakan di One Punggol pada Mei.

Ditemui Berita Harian (BH), Ketua Pegawai Eksekutif KidSTART, Cik Rahayu Buang, berkata bahawa menerusi acara di Punggol, mereka menyaksikan lonjakan pendaftaran bagi program KidSTART sebanyak 40 peratus.

Seiring itu, beliau berharap lebih ramai penduduk di Tampines dan Pasir Ris juga akan tahu tentang program tersebut dan mendaftarkan diri secara percuma sekiranya mereka layak, memandangkan ia sudah dibawa dekat ke kawasan kejiranan mereka.

Melahirkan harapan agar lebih ramai kaum ibu mendaftar seawal mereka hamil, Cik Rahayu berkata:

“Kami menyediakan sokongan jangka panjang, dan kehadiran (sokongan KidSTART) seawal mungkin adalah lebih baik sebenarnya kerana sains telah menunjukkan bahawa tempoh kandungan juga sangat penting buat pembangunan si anak.

“Justeru, jika ibu-ibu mengamalkan pemakanan yang baik dan mereka tahu jaga diri mereka secara mental serta fizikal, anak yang bakal lahir nanti akan berada di kedudukan yang lebih baik.

“Dengan sokongan berterusan KidSTART, mereka akan tahu bagaimana untuk berinteraksi dengan anak tersebut supaya mereka dapat membangun dengan baik dalam lima, enam tahun pertama kehidupan mereka.”

Kira-kira 600 peserta terdiri daripada ibu bapa dan kanak-kanak mengambil bahagian dalam kegiatan menyeronokkan dan mesra keluarga seperti senaman Zumba, yoga dan istana ambul atau ‘bouncy castle’.

Ibu bapa juga dapat menimba pengetahuan tentang usaha KidSTART seperti kunjungan ke rumah dan bagaimana pengamal dilatih bagi menyokong keluarga dalam pembangunan awal kanak-kanak.

Program KidSTART kini ditawarkan di 21 bandar di serata Singapura.

Sebelum ini, pemerintah berkata program tersebut juga akan ditawarkan di lagi tiga bandar iaitu Queenstown, Clementi dan Jurong East menjelang 2025.

“Hasilnya bukan sahaja dari segi anak tersebut dapat membaca dan menulis, itu juga penting, tetapi bagaimana kita melengkapi ibu bapa dengan keupayaan untuk menjadi sebahagian daripada usaha pembangunan anak tersebut dari segi pembelajaran sosioemosi mereka,” Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.

This article was originally featured in Berita Harian, published Aug 4, 2024.
https://www.beritaharian.sg/singapura/program-sokong-kanak-kanak-keluarga-gaji-rendah-diperluas-tampines-pasir-ris

<strong>KidSTART provides emotional support to single mothers raising children</strong>

KidSTART beri sokongan emosi kepada ibu tunggal besarkan anak

Membesarkan tiga anak berusia antara tiga dengan 19 tahun secara sendiri bukanlah mudah bagi ibu tunggal, Cik Anhkashah Khamis, yang kadangkala mendapati dirinya berasa tertekan hingga menjejas kesejahteraan dirinya.

Dalam usaha menyara hidup keluarganya dengan keadaan kewangan yang sempit, wanita berusia 37 tahun itu cuba meraih pendapatan menerusi pekerjaan sambilan sebagai pelakon tambahan.

Namun, beliau mendapatinya sukar untuk meluangkan masa bermutu bersama anak-anaknya.

Bagaimanapun setelah diperkenal kepada program KidSTART pada 2021, Cik Anhkashah mengakui dapat melihat perbezaan ketara dalam kehidupannya,

Beliau bukan sahaja menerima sokongan dari segi emosi, malah dalam pembangunan awal anak-anaknya.

Cik Anhkashah diperkenal kepada KidSTART ketika anak keduanya menyertai prasekolah, My First Skool.

Setelah itu, anak bongsunya turut menyusul menyertai program tersebut.

Beliau merupakan antara keluarga yang mengambil bahagian dalam acara KidSTART PlayDate di Our Tampines Hub pada 4 Ogos.

Menurutnya, acara tersebut dapat mengeratkan lagi hubungannya bersama anak-anaknya dan memberinya peluang untuk meluangkan masa bersama mereka.

Namun melebihi acara itu sendiri, KidSTART banyak membantu ibu tunggal itu meniti liku-liku dalam kehidupannya terutamanya menerusi kunjungan tetap oleh pengamal KidSTART ke rumahnya, bukan sahaja untuk bertanya khabar tentang keadaan dirinya bahkan turut membantu dalam pembesaran anak-anaknya.

“Pada mulanya, saya agak ragu-ragu tentang kunjungan ke rumah tersebut tetapi saya kemudian sedar bahawa ia baik dan sangat membantu terutamanya pada hari apabila saya letih menguruskan tiga anak saya.

“Di akhir kunjungan tersebut, saya rasa lega dan kadangkala mereka membawa kegiatan untuk anak-anak saya.

“Kehadiran mereka untuk mendengar luahan hati saya memainkan peranan untuk menaikkan semangat diri saya dan pada masa yang sama, mereka melihat pembangunan anak-anak saya dan beri maklum balas,” ujarnya.

Kini, Cik Anhkashah menganggap KidSTART sebagai sebahagian penting kehidupan beliau, malah menandakan acara anjuran program itu di kalender agar tidak terlepas menghadirinya.

Dek keberkesanan yang dirasakan, beliau telah menyarankan program tersebut kepada kakaknya, Cik Anhdauwiyah Khamis, 39 tahun, yang baru mendaftarkan diri dalam KidSTART pada 2024.

Juga seorang ibu tunggal kepada seorang anak perempuan berusia enam tahun, Cik Anhdauwiyah mengakui alangkah baiknya jika beliau tahu tentang program itu lebih awal.

“Acara sebegini memberikan saya lebih waktu untuk mengeratkan hubungan bersama anak perempuan saya.

“Saya kerja dari Isnin hingga Jumaat, jadi dengan acara seperti ini, ada sesuatu yang dapat saya nanti-nantikan,” ujar guru sambilan itu.

This article was originally featured in Berita Harian, published Aug 4, 2024.
https://www.beritaharian.sg/singapura/kidstart-beri-sokongan-emosi-kepada-ibu-tunggal-besarkan-anak