Back to Newsroom Volunteers helping KidSTART children get a good start in life By KidSTART Singapore April 1, 2023 Share Ibu muda syukur dapat bimbingan, bantuanKidSTART tingkat usaha bantu kanak-kanak dapat ‘permulaan baikDua beradik ‘buka mata’ realiti kehidupan keluarga susah Ibu muda syukur dapat bimbingan, bantuan SEBAGAI ibu tunggal muda, Cik Nuraishah Dawood perlu membahagikan masa antara membesarkan anak perempuan berusia 22 bulan dan pekerjaannya. Cik Nuraishah yang tinggal bersama ibu dan abangnya di flat kawasan Jalan Besar, menjelaskan: “Saya bekerja sebagai seorang pelayan di salah satu restoran. Jadi sebahagian besar masa saya terluang bekerja.” Mujur, beliau, 23 tahun, menerima bantuan dalam pembangunan kanak-kanak oleh KidSTART – program yang menyokong pembangunan awal kanak-kanak pada usia bayi hingga enam tahun dari keluarga berpendapatan rendah. Ini setelah pada 2021, salah seorang daripada pekerja sosial menyarankannya untuk mendapatkan khidmat daripada kakitangan KidSTART. “Sebagai seorang ibu kali pertama dengan anak kecil, saya bersyukur kerana diberi dampingan. “Saya mengalu-alukan bantuan ini kerana ia melengkapkan saya dengan ilmu pembangunan kanak-kanak kecil,” tambah beliau. Kakitangan KidSTART akan datang dua kali sebulan untuk memberi bimbingan kepadanya mengenai pelbagai aspek pembangunan kanak-kanak. Ini seperti cara mengendalikan bayi serta pendekatannya yang semuanya berlandaskan model LearningGames. Model tersebut berteraskan perkongsian pengalaman atau permainan yang dimainkan antara orang dewasa dengan satu atau dua kanak-kanak mengikut peringkat umur. Ia merupakan sebahagian daripada kurikulum Pendekatan Abecedarian, yang mana terdapat 200 aktiviti tersedia untuk membimbing perkembangan kognitif, sosial, emosi dan fizikal di kalangan kanak-kanak kecil. Bagi Cik Nuraishah misalnya, beliau didedahkan dengan aktiviti yang boleh dilakukan bersama anaknya untuk memperhalusi daya kognitif si cilik. “Permainan berlandaskan pelajaran disesuaikan mengikut peringkat pembangunan anak saya. “Oleh itu, salah satu aktiviti yang diterapkan kepada saya adalah saya diberi tugasan untuk membimbing anak saya agar meletakkan makanan dalam botol susunya,” jelasnya. Di samping itu, beliau turut diberi bimbingan dari aspek kesejahteraan mental setelah beliau dihantar untuk penilaian mental. Ini menurutnya banyak membantu dalam menguatkan lagi ketahanan mental. Selain itu, beliau turut menerima sumbangan buah-buahan segar dan lampin bayi secara bulanan, yang sedikit sebanyak meringankan kos yang perlu ditanggungnya. Semua ini, menurutnya, membantu beliau tumpu kepada memberikan yang terbaik bagi anaknya. “Saya dapat lihat yang anak saya pantas menggarap (sesuatu) dan saya teruja dengan pembangunannya. “Justeru, saya mengalu-alukan interaksi dan dampingan yang diberikan oleh KidSTART setiap kali mereka datang membuat kunjungan ke rumah,” tambah Cik Nuraishah. Summary This article featured KidSTART parent Nuraishah Dawood and the positive impact that KidSTART has had on her as a young working parent. The article shared that Nuraishah joined KidSTART in 2021, following the recommendation of a social worker, and was grateful for the support and knowledge on early childhood development that she would receive. She shared that KidSTART taught her how to track her daughter’s development milestones by using LearningGames according to the Abecedarian Approach, which has over 200 activities available to guide cognitive, social, emotional and physical development in young children. She shared that she is also given guidance on mental wellness which helped her strengthen her mental resilience, as well as fresh fruit and diapers every month, which help to ease daily costs. This allows her to focus on giving the best for her daughter and she shared that she has seen positive results in her child’s development, therefore she welcomes the interaction and support provided by KidSTART. This article was originally featured in Berita Harian, published Apr 1, 2023 https://www.beritaharian.sg/setempat/ibu-muda-syukur-dapat-bimbingan-bantuan KidSTART tingkat usaha bantu kanak-kanak dapat ‘permulaan baik Lebih ramai relawan diperlukan untuk dekati kanak-kanak dari keluarga berpendapatan rendah, usaha termasuk ringankan beban keluarga LEBIH ramai sukarelawan diperlukan untuk menyertai KidSTART, sebuah pertubuhan tidak mengambil untung yang bertujuan membantu kanak-kanak dari keluarga berpendapatan rendah dari usia bayi hingga enam tahun supaya mendapatkan permulaan yang baik dalam kehidupan. Demikian dinyatakan Ketua Pegawai Eksekutif KidSTART Singapore Ltd, Cik Rahayu Buang, kepada Berita Harian. Menurutnya, tahun-tahun awal bagi si kecil adalah penting dalam melakar masa hadapan mereka. Dengan penglibatan sukarelawan dalam usaha-usaha KidSTART bagi mendekati kanak-kanak dari keluarga berpendapat rendah, ia dapat memudahkan keluarga itu untuk tumpu pada pembangunan kanak-kanak mereka. Cik Rahayu berkata: “Seperti ibu bapa lain, keluarga-keluarga KidSTART juga inginkan yang terbaik bagi anak-anak mereka. “Namun, mereka barangkali berhadapan dengan kekangan sumber atau tidak pasti apa untuk dilakukan kerana kurangnya ilmu pengetahuan.” Seruan beliau adalah sejajar dengan tema Masyarakat Penyumbang, Perkukuh Negara yang disebut Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF), Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, semasa perbahasan Belanjawan kementeriannya di Parlimen baru-baru ini. Encik Masagos berkata keluarga merupakan teras kompak sosial di Singapura dan ia “menyediakan wadah untuk membangunkan rasa tanggungjawab bersama atas dasar keikhlasan”. “Sifat tanggungjawab bersama inilah yang mendorong kita untuk menjadi rakyat yang menyumbang kepada masyarakat dan negara,” ujar beliau. Lantaran itu, Cik Rahayu menyeru agar lebih ramai sukarelawan Melayu/ Islam tampil dalam usaha untuk mendapatkan lebih banyak keluarga menyertai program KidSTART, mengagihkan barangan keperluan dan sumber pembelajaran, serta memberi sokongan tambahan pada keluarga sedemikian bila-bila ia diperlukan. “Perjalanan bersama keluarga-keluarga KidSTART akan menjadi bermakna dan memuaskan untuk sukarelawan kerana mereka tahu mereka telah memainkan peranan dalam merapatkan jurang perkembangan kanak-kanak,” tambah beliau. Dalam pada itu, MSF turut mengumumkan semasa perbahasan Belanjawan bahawa program KIDSTART akan ditingkatkan ke seluruh negara menjelang 2026, dan keutamaan pendaftaran akan diberikan kepada kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah di prasekolah pengendali utama. This article was originally featured in Berita Harian, published Apr 1, 2023. https://www.beritaharian.sg/setempat/kidstart-tingkat-usaha-bantu-kanak-kanak-dapat-permulaan-baik Dua beradik ‘buka mata’ realiti kehidupan keluarga susah Program yang dijalankan KidSTART memberi sukarelawan peluang membantu kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah. BERITA HARIAN menemui sukarelawan yang menggembleng tenaga dan penerima program itu. PENGLIBATAN dua beradik Cik Siti Az-Zahroh Effendi dan Cik Siti Ruquiyah Effendi dalam program sukarelawanan KidSTART telah meluaskan perspektif mereka terhadap realiti kehidupan orang lain. Ini setelah mereka – yang masing-masing berusia 31 tahun dan 29 tahun – dapat menggembleng tenaga untuk berinteraksi dengan anak-anak kecil dan keluarga yang kurang bernasib baik. Anak bongsu dalam keluarga dua beradik, Cik Siti Ruqaiyah, menjelaskan: “Apa yang saya alami sebagai pendidik awal kanak-kanak jauh berbeza sekali dengan apa yang saya lihat semasa menaburkan bakti sebagai sukarelawan bersama kanak-kanak kecil. “Misalnya dalam satu program pengedaran lampin kepada keluarga kurang bernasib baik, saya lihat sendiri kanak-kanak kecil yang kencing di lantai kerana kekurangan bekalan kebersihan dan ini benar-benar membuka mata saya.” Pada hujung 2021, dua beradik ini mula melibatkan diri dengan aktiviti sukarelawan KidSTART – program yang menyokong pembangunan awal kanak-kanak dari keluarga berpendapatan rendah – dalam mengagihkan barang makanan. Awal daripada itu, mereka juga kerap berkhidmat secara sukarela dengan beberapa badan lain kerana terpanggil untuk “menyokong masyarakat”. “Saya rasa apabila anda membantu orang lain, ia merupakan kegembiraan yang sukar untuk dijelaskan. “Anda membuat perkara yang baik, anda akan dapat rasa kepuasannya,” jelas Cik Siti Ruqaiyah. Tetapi sifat sukarelawan ini sebenarnya tidak datang dengan sendiri kerana menurut Cik Siti Az-Zahroh, ia telah disemai sejak kecil oleh ibu bapa mereka. Dua beradik itu berkongsi bahawa mereka didedahkan dalam dunia kesukarelawanan sejak dari bangku sekolah tadika lagi – kali pertama adalah apabila dibawa ibu bapa mereka terlibat dalam kerja sukarelawan pada hujung minggu. Cik Siti Az-Zahroh berkata: “Saya masih ingat lagi antara aktiviti pertama yang kami lakukan adalah membungkus barangan Hari Raya untuk diagihkan kepada golongan yang memerlukan. “Pada mulanya memang kami tidak suka melakukannya. Namun lama-kelamaan, ia membuka perspektif kami dan menyemai nilai baik dalam diri.” Beliau menambah mereka membuat keputusan melibatkan diri secara serius dan akan mengetepikan waktu untuk meluangkan masa dalam aktiviti kesukarelawanan. “Sungguhpun kami sibuk dengan tugasan harian, kami mengetepikan waktu sekurang-kurangnya sebulan sekali untuk lakukan kerja sukarelawan. “Saya rasa ia juga wadah bagi kami untuk lakukan aktiviti bersama,” jelas Cik Siti Ruqaiyah. Cik Siti Az-Zahroh berkata beliau mula menyertai kerja-kerja sukarela bersama KidSTART apabila diajak oleh adiknya pada hujung 2021. Pada waktu itu, beliau dan relawan lain perlu menggembleng tenaga untuk pergi rumah ke rumah bagi mengagihkan makanan yang termasuk buah-buahan atau sayuran segar. “Saya amat kagum sebenarnya dengan kecekapan tadbir urus dan cara program dijalankan,” tambah beliau. Beliau menambah bahawa untuk berkecimpung dalam kerja sukarelawan, sifat cepat menilai orang lain perlu dibuang kerana “setiap individu berhadapan dengan cabaran berbeza”. “Kita harus ada rasa empati dan tidak boleh mudah buruk sangka dengan keadaan atau nasib orang lain,” tambah Cik Siti Az-Zahroh. SEKILAS PERANAN RELAWAN KIDSTART Jangkau dan terlibat sama dengan keluarga Bantu libatkan keluarga dalam program KidSTART Tahap komitmen: Sekurang-kurangnya 3 bulan (3 jam/sesi jangkauan). Perlu jalani latihan 2-3 jam Jadi rakan KidSTART Beri sokongan ad-hoc kepada keluarga dan pekerja KidSTART (termasuk lawatan ke rumah, membawa keluarga untuk janji temu dan lain-lain) Tahap komitmen: Perlu jalani latihan 2-3 jam Tingkat dana & kesedaran Kongsi tujuan KidSTART & kumpul dana yang diperlukan untuk keluarga Mulakan inisiatif anda & maklumkan cara bagaimana KidSTART boleh menjadi sebahagian daripadanya Edar Buku Cerita KidSTART Edar buku sesuai ikut peringkat umur untuk bantu kanak-kanak KidSTART kembangkan minat membaca & kemahiran bahasa This article was originally featured in Berita Harian, published Apr 1, 2023 https://www.beritaharian.sg/setempat/dua-beradik-buka-mata-realiti-kehidupan-keluarga-susah More Articles Watch stories come to life! KidSTART Singapore presents latest play production, Adventures with Andi Committee of Supply 2023: KidSTART goes nationwide to offer the programme to all eligible families; to support 80% of eligible children in lower-income families, starting from the children born 2023 Budget 2023: Scaling up of KidSTART programme nationwide: to support 80% of eligible children in lower-income families, starting from the children born 2023. KidSTART Practitioner journeying with low-income families to support young children in having a good start in life